Sunday, June 22, 2008

KEMUSYKILAN AGAMA..

Soalan : Adakah bahan 'myristyl alcohol' yang terkandung di dalam minyak rambut satu jenama terkenal boleh dibawa solat jika memakainya?

Jawapan : Harus menggunakan minyak rambut yang mempunyai alkohol kerana ia adalah ekstrak dari tumbuh-tumbuhan bukan daripada arak.

Soalan : Assalamualaikum.Saya nak bertanya tentang takbir raya.Saya dimaklumkan bahawa pada hari raya aidil fitri,kita hanya boleh bertakbir selama sehari saja iaitu pada 1 Syawal saja manakala bagi Hari Raya Aidil Adha,kita boleh bertakbir selama 4 hari, bermula dari 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.Betulkah begitu?harap ustaz dapat menjawab soalan saya ini.terima kasih..

Jawapan : Takbir Aidilfitri bermula masuknya waktu Maghrib 1 Syawal dan berakhir selepas solat sunat Aidlfitri manakala takbir Aidil Adha bermula masuknya waktu Maghrib 10 Zulhijjah sehingga masuknya waktu Asar 13 Zulhijjah.

Soalan :Ketika sampai ke masjid untuk sembahyang jumaat, imam telah selesai rakaat pertama. Apa perlu saya lakukan, samada terus mengikut imam dengan niat sembahyang jumaat dan menambah rakaat yang tertinggal apabila imam beri salam ataupun kena niat sembahyang zohor(mengerjakan sembahyang zohor)?

Jawapan :Wajib sembahyang mengikut imam dan menambah satu lagi rakaat selepas imam memberi salam.

Soalan :Adakah wajib mengqada sembahyang 5 waktu yg telah ditingalkan dengan sengaja atau tidak sengaja? Adakah ada dalil yg mengatakan perlu qada sembahyang?

Jawapan :Sembahyang 5 waktu adalah Fardhu ke atas setiap orang Islam akil baligh (berakal dan telah sampai umur mukallaf). Sesiapa yang telah meninggalkannya secara sengaja atau tidak diwajib mengqadakannya secara segera pada bila-bila masa. Kewajipan ini adalah kedudukan orang yang wajib membayar hutang.

Soalan :Assalamualaikum...saya bekerja disebuah syarikat bukan islam. masalahnya pejabat saya bekerja tidak menyediakan tempat solat dan ruangannya terlalu sempit. Semua pekerja di sini orang cina hanya saya seorang Melayu. Sebelum ni saya menumpang solat di bank yang berdekatan tetapi baru-baru ni Boss(majikan) bank tersebut tidak membenarkan saya solat di situ dengan alasan mengikut prosedur orang luar tidak dibenarkan masuk ke dalam bank.boleh ke saya mengqada'kan solat zuhur selepas waktu asar? Apakah perkara-perkara yang membolehkan seseorang itu mengqadakan solatnya?

Jawapan :Tahniah untuk anda kerana cuba mempertahankan solat walau dalam kesulitan. Ibadat sembahyang wajib dikerjakan oleh orang Islam walau dengan apa cara sekalipun. Dalam situasi yang dinyatakan oleh saudari ini, sembahyang zohor wajib dikerjakan walaupun di ruangan yang kecil sahaja.Berusahalah mengerjakan ibadat tersebut dengan sedaya upaya yang boleh. Berbincanglah degan pihak syarikat yang saudari bekerja dengan cara yang baik, agar disediakan ruangan yang membolehkan orang Islam bersembahyang. Jika tiada jalan penyelesaian, bolehlah saudari memohon kerja lain yang mana saudari dapat menunaikan perintah Allah S.W.T.dengan selesa dan baik. Itu yang terbaik.

Soalan : Ketika solat jumaat, tanpa diketahui, imam telah membaca qunut pada rakaat kedua. Berlaku kelam kabut . Ada antara makmum yang telah turun untuk sujud dan naik semula utk sama-sama qunut. Ada yang keliru dan menanti. Apa yang sepatutnya dibuat dalam isu ini?

Jawapan : Apa yg terbaik dalam masalah ini ialah anda mengikuti apa sahaja perkara yg dibuat oleh imam perkara yg tidak menjejaskan solat. Nabi bersabda Sesungguhnya dijadikan imam adalah untuk diikuti.

Soalan : Benarkah pendapat yang menyatakan seseorang yang bermusafir melebihi 2 marhala layak menjamak/qasarkan solah mereka pada 3 hari yang pertama? Pohon maklumkan dalilnya sekali. Terima kasih.

Jawapan : Islam mengharuskan bagi orang yang bernusafir menjamak dan menqasarkan sembahyang fardhu 5 waktu. Dalilnya, Firman Allah yang bermaksud, "Dan apabila kamu musafir di muka bumi maka kamu tidaklah berdosa menqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang kafir". Surah An.Nisa' : Ayat 101.

Hadis Nabi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah suka jika dilakukan rukhsah-rukhsahNya sebagaimana Dia suka dilakukan azimah-azimahNya". Hadis Riwayat Muslim

Cara-cara sembahyang jamak ialah seperti berikut :

"Jamak Taqdim" ialah mengerjakan sembahyang dalam waktu yang sebelumnya misalnya sembahyang Asar dilakukan pada waktu Zuhur sesudah mengerjakan sembahyang Zuhur.

"Jamak Ta'khir" pula ialah menjamakkan sembahyang dalam waktu sesudahnya, misalnya sembahyang Zuhur dikerjakan sesudah sembahyang Asar atau sembahyang Maghrib sesudah Isyak.

Adapun yang boleh dijamakkan ialah sembahyang siang sama sembahyang siang seperti Zuhur dan Asar dan sembahyang malam sama sembahyang malam seperti Maghrib dan Isyak. Tidak boleh menjamakkan sembahyang siang dengan sembahyang malam begitu juga sebaliknya.Manakala sembahyang Subuh tidak boleh dijamakkan.

Cara menjamakkan sembahyang seperti yang dinyatakan di atas umpamanya dikerjakan sembahyang Zuhur di waktu Asar atau sebaliknya. Begitu pula dengan sembahyang Maghrib dikerjakan pada waktu Isyak atau sebaliknya. Tetapi sembahyang Asar tidak boleh dijamakkan pada sembahyang Maghrib kerana itu bukan tempatnya.

Syarat Jamak Taqdim:
1. Meniatkan jamak di waktu yang pertama.
2. Tertib ertinya mendahulukan mana yang patut didahulukan dan mengakhirkan mana yang patut diakhirkan. Maksudnya dikerjakan lebih dahulu sembahyang yang pertama kemudian yang kedua.
3. Berturut-turutan ertinya setelah selesai mengerjakan sembahyang yang pertama, hendaklah segera dikerjakan sembahyang yang kedua tanpa diselangi / dibatas oleh sesuatu perbuatan dan perkataan lain melainkan untuk berwudhuk kembali.

Sembahyang qasar pula ialah menendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat iaitu untuk solat zohor, asar dan isyak sahaja.

Syarat jamak ta'khir:
1. Meniatkan jamak di waktu yang pertama. Jika tidak, tidak sah jamaknya.
2. Lanjut perjalanan hingga akhir waktu kedua, andaikata ia sedang berjalan.

Soalan : Salam ustaz... saya sebenarnya mempunyai was-was dalam solat. Saya selalu membaca lafaz solat berulangkali dan sewaktu saya igin bertakbir saya rasa tidak yakin Bagaimanakah saya harus mengatasi masalah ini?

Jawapan : Perasaan was-was merupakan satu penyakit yang berpunca daripada hasutan syaitan. Walau bagaimana pun, tuan hendaklah yakin dengan apa yang dilakukan dan sembahyang saudara adalah sah sekiranya menepati dengan rukun dan syaratnya. Saudara dinasihatkan sebelum mendirikan solat hendaklah membaca Surah an-Nas dan doa-doa bagi menghindarkan gangguan syaitan.

Soalan : Bolehkah kita menggunakan minyak wangi semasa mengerjakan solat?

Jawapan : Harus menggunakan minyak wangi ketika solat yang tidak boleh mengganggu kekhusyukan jemaah lain ketika solat.Sekiranya bau wangi tersebut boleh mengganggu deria orang lain adalah dilarang.(makruh)

Soalan : Assalamualaikum,saya seorang yang suka meniggalkan solat dahulu,tetapi sekarang saya sudah mula sedar tentang pentingnya solat dan ibadah puasa dalam seseorang islam,soalan saya disini bagaimanakah cara harus saya mengqadarkan solat dan puasa yang telah saya abaikan?

Jawapan : Panel mengucapkan syabas di atas kesedaran saudara dalam hal ini. Sebaik-baiknya saudara hendaklah segera mengqada'sembahyang yang telah lalu selepas setiap kali solat fardu yang dikerjakan. Sementara bagi puasa pula saudara perlu mengqada'nya sebanyak mana hari yang ditinggalkan serta diwajibkan membayar fidyah sebanyak secupak beras/wang kepada fakir miskin. Fidyah yang wajib dibayar tersebut adalah berganda mengikut jumlah tahun yang kita tinggal puasa tersebut. Cara mengiranya saudara bolehlah merujuk ke Baitulmal Jabatan Agama Islam Negeri yang berdekatan.

Soalan : Assalamualaikum. biasanya, sebelum solat saya akan membuang air kecil terlebih dahulu dan seterusnya mengambil wuduk. saya sering berasa was-was yang air kencing terkeluar semasa solat menyebabkan saya terpaksa berwuduk dan bersolat berulang kali walaupun saya telah berdehem selepas membuang air. apakah hukumnya dan bagaimana saya mengatasi masalah ini?

Jawapan :Waalaikumussalam. Perasaan was-was adalah daripada gangguan syaitan, oleh kerana saudari yakin bahawa air kencing tersebut masih lagi keluar dan terpaksa mengambil wuduk, saudari dinasihatkan supaya memakai lampin pakai buang ketika solat tersebut dan sebaik-baiknya berjumpa dengan doktor pakar untuk mengubati penyakit oleh saudari ini.
Hukum solat yang telah dikerjakan ketika air kencing masih lagi keluar ketika solat adalah tidak sah dan dikehendaki qada' solat tersebut..

Soalan :1) Dipejabat tempat saya bekerja,ada jamuan untuk semua pekerja dan periuk-periuk yang digunakan dibawa oleh pekerja Cina dan dia mengatakan periuk itu tidak digunakan untuk memasak babi. Boleh makan tak makanan dalam periuk itu?

Jawapan: Dalam ilmu Fiqh kaedah menjelaskan bahawa keyakinan tidak boleh dihilangkan oleh syak (keraguan). Berdasrkan kepada kaedah ini jika sekiranya Saudari yakin bahawa makanan yang disediakan oleh pekerja-pekerja Cina itu adalah tidak jelas halalnya maka Saudari hendaklah menghindarinya berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,"Maka tinggalkanlah perkara yang meragui kamu kepada perkara yang tidak meragui kamu"

Soalan: 2) Adakah perlu seseorang yang memakai susuk (cth :memasukkan jarum emas ke dlm muka)membuang semula susuk tersebut sebelum ia meninggal dunia.Bagaimanakah cara yang dibenarkan oleh syara' untuk membuang susuk tersebut?

Jawapan : Pemakaian susuk tidak diharuskan oleh syarak tetapi Islam menggalakkan umatnya supaya meningkatkan ilmu, iman dan amal. Sekiranya seseorang telah memakainya hendaklah ia membuangnya kerana perbuatan memakai susuk adalah khurafat dan bertentangan dengan akidah Islam..(menentang kejadian Tuhan)

Soalan: 3) Apakah benar yg mengatakan baca ayat 15 surah asShura selepas sembahyang fardhu, MENGHILANGKAN KESULITAN HIDUP?

Jawapan : Apabila dilihat kepada makna ayat 15 surah as-Syura yang dimaksudkan itu tidaklah menjurus secara langsung kepada menghilangkan kesulitan hidup. Sebenarnya membaca al-Quran itu sendiri mempunyai fadilah dan kelebihan yang cukup besar antaranya memberi:
1.ketenangan jiwa
2.kesejahteraan
3.Kebahagiaan
4. Merawat penyakit dan lain-lain.

Justeru perbanyakkanlah membaca al-Quran setiap masa dan seeloknya jadikanlah sebagai rutin harian, mudah-mudahan segala kekusutan, kerunsingan dan masalah dapat dihilangkan.

Soalan :4) Bagaimanakah ibadah mangsa banjir dari segi kesucian pakaian mereka. Ini kerana saya ada terbaca ada segelintir yang terpakse mengharungi banjir bercampur najis lembu yang banyak. Paling dahsyat apabila ada sebuah gambar menunjukkan seekor babi hutan berenang-renang. Perlukah mereka yg melihat ini dan berada di kawasan air yg besambungan dgn kawasan babi tersebut menyamak keseluruhan badan terlebih dahulu?

Jawapan : Mangsa banjir yang pakaian mereka terkena najis mughallazah, jika rasa, bau dan warna masih melekat pada pakaian mereka, hendaklah disucikan dengan menyamak badan dan pakaian mereka dengan satu kali air tanah dan enam kali air mutlak(air yang suci lagi menyucikan). Jika pakaian terkena najis mutawassitah seperti tahi lembu dan sebagainya, memadai menyucikan pakaian tersebut dengan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warna najis berkenaan.

Soalan :5) Adakah pelaburan Swisscash boleh dilakukan dan adakah proses, perlaksanaannya dibenarkan dari segi Islam?.

Jawapan : Hukum pelaburan dalam pasaran saham Swisscash boleh disertai jika sekiranya pelaburan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak, seperti peniagaan yang tiada penipuan, tiada penindasan, tiada riba, tidak dilaburkan wang tersebut di tempat-tempat yang haram dan seumpamanya. Anda dinasihatkan supaya merujuk ke pihak Pengurusan Pelaburan Swisscash untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaburan tersebut..

Soalan :6) Assalamualaikum.. Saya ingin bertanya tentang ujian HIV bagi pasangan yang akan berkahwin. Saya berasal dari Kedah dan pasangan saya berasal dari KL. Perlukah kami membuat ujian tersebut dan bolehkah kami lakukan ujian itu bersama di KL walaupun saya berasal dari negeri yang tidak mewajibkan pemeriksaan itu?

Jawapan : Islam mementingkan kesihatan. Kesihatan bukan sahaja untuk diri tetapi
untuk zuriat. Kewajipan menjalani ujian HIV adalah suatu maslahah dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bertujuan untuk menjaga nasab / keturunan. Tuan seharusnya menerima baik peraturan ini dan jalanilah ujian tersebut untuk kebaikan di masa akan datang. .

Soalan :7) Adakah ibu mertua dan bapa mertua merupakan mahram pada bakal menantunya?

Jawapan : Bakal ibu dan bapa mertua bukan mahram bagi bakal menantunya kerana dia belum lagi berkahwin dengan calon suami / isteri. .

Soalan : 8) Bolehkah seseorang muslim itu melakukan teknik rebonding ke atas rambutnya?

Jawapan : Dalam hadith nabi s.a.w. dinyatakan Allah itu Maha Indah dan Ia sukakan yang indah-indah. Oleh itu saudara bolehlah menghiasi diri saudara dengan perkara -perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Justeru itu teknik rebonding ke atas rambut tidak menyalahi syarak jika bahan-bahan yang digunakan adalah suci dan tidak mengandungi najis yang ditegah oleh syarak dan niat untuk berbuat demikian bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Soalan :9) Apabila kita telah memakan makanan yang syubhah, adakah makanan itu dikira haram? Adakah terdapat cara untuk membersihkan darah kita sekiranya termakan makanan yang haram?

jawapan : Apabila kita termakan makanan yang syubhah, ia dikira haram. Ini kerana nabi s.a.w. bersabda" Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas dan di anatara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia.Sesiapa yang menjauhi yang perkara syubhah, sesungguhnya ia telah memelihara maruah dan agamanya.Sesiapa yang terjatuh dalam syubhah, ia telah melakukan yang haram seperti seorang gembala yang mengembala ternakannnya di tepi kawasan yang dilarang yang ditakuti termasuk di kawasan larangan tersebut...(Hadith riwayat Bukahari dan Muslim)
Cara membersihkan diri daripada yang haram ialah dengan segera bertaubat kepada Allah S.W.T. dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut. .

Soalan :10) bagaimanakah yang dikatakan orang miskin yang layak bibayar untuk kaffarah.

Jawapan : Yang dimaksudkan miskin ialah orang yang berupaya memenuhi keperluan hidup tetapi tidak mencukupi. Contohnya seseorang yang keperluan asasinya ( makanan, pakaian dan tempat tinggal) RM 10.00 tetapi pendapatannya hanya RM 8.00 sahaja

Soalan :11) Apakah perkara-perkara sunat dilakukan pada 10 muharam iaitu pd hari ashyura..
Jawapan : Di antara pendapat ulama tentang amalan pada hari `asyura (10 muharram) ialah:
i) Menunaikan puasa sunat sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya".
(Riwayat Muslim)

Bagi membezakan amalan puasa sunat pada hari tersebut dengan puasa orang Yahudi, maka disunatkan umat Islam berpuasa pada hari 9 dan 10 Muharram.

ii) Membanyakkan amal kebajikan seperti sedekah, membaca al-Quran, melapangkan masa untuk keluarga, memuliakan fakir miskin, menahan marah, menunjukan jalan bagi orang sesat, memelihara kehormatan diri,, mandi sunat, sembahyang
sunat empat rakaat, menjamu orang berbuka puasa dan lain-lain.

Soalan :12) Adakah haram bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang bersadur emas?

Jawapan : Hukum seorang lelaki memakai jam tangan atau sesuatu yang bersadur emas adalah haram. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud:
"Janganlah kamu pakai sutera halus dan juga sutera kasar, serta jangan kamu makan / minum dengan menggunakan bekas emas dan perak, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu (kelak) di akhirat".
(Riwayat Bukhari dan Muslim) .

Soalan :13) Bolehkah lelaki memakai cincin suasa?

Jawapan : Berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Kajian Syariah tahun 2000 hukum memakai suasa bagi lelaki adalah haram..

Soalan :14) Apakah hukumnya adat bercukur jambul dan 'berendoi' yang disertai dengan marhabban bagi bayi yang baru dilahirkan yang sering diamalkan oleh sesetengah masyarakat islam. adakah ianya khurafat dan bercanggah dari adab islam itu sendiri? apakah cara terbaik bagi menyambut kelahiran baru mengikut sunnah nabi saw..

Jawapan : Cara-cara menyambut kelahiran dalam Islam ialah :

i- Sunat Azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kirinya sebaik sahaja dilahirkan. Berdasarkan hadis yang bermaksud, Daripada Ubaidillah bin Abu Rafi' daripada bapanya, katanya, "Aku melihat Rasulullah SAW azan sebagaimana azan solat di telinga al-Hasan bin Ali setelah Fatimah melahirkannya".
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

ii- Tahnik bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah-kunyah dan digosok-gosokkan di lelangit bayi hingga sebahagiannya masuk ke dalam perutnya. Berdasarkan hadis yang bermaksud, Daripada Anas bin Malik r.a katanya, "Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari r.a yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, Baginda yang memakai aba'ah (jubah tanpa lengan yang berbelah di hadapan) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya adakah engkau membawa buah tamar?Aku menjawab ada, lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan tamar itu ke dalam mulut dan mengunyah-nguyahnya. Kemudian Baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerakkan lidah sambil menghisap manisannya. Kemudian Rasulullah bersabda, kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.
(Hadis riwayat Muslim).

iii- Menamakan anak pada hari ke 7 ia dilahirkan dengan nama-nama yang baik.
Berdasarkan hadis,
.قال النبي صلى الله عليه وسلم : انكم تدعون يوم القيامة باسمإكم واسمإ أبإكم فاحسنوا اسمأكم.
رواه ابو داود)
Bermaksud, Sabda Rasulullah SAW, "Sesunguhnya pada Hari Kiamat, kamu dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka elokkanlah nama kamu".
(Hadis riwayat Abu Daud).

iv- Mengadakan akikah pada hari ke 7 sehingga umur balighnya dengan mencukur rambut anak dan bersedekah nilai emas atau perak mengikut berat rambut tersebut.
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, Daripada Ali k.w katanya,"Rasulullah SAW mengakikah seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda wahai Fatimah cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut". Kata Ali lagi, "Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham".
(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Adat bercukur jambul dan berendoi yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah merupakan adat yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Walau pun demikian sebagai ibu bapa seharusnya memastikan bahawa dalam mengadakan sambutan tersebut tidak berlaku pembaziran dan apa-apa perbuatan yang terkeluar daripada akidah Islamiah seperti yang digariskan di atas..

Soalan :15) Bagaimana dengan amalan membaca Yaasin pada setiap malam Jumaat?

Jawapan : Membaca al-Quran atau mana-mana surah seperti surah Yasin akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Sebagai makluman sahaja, tidak disyariatkan atau bukan daripada sunnah Rasulullah SAW membaca Yasin pada malam Jumaat. Walau bagaimanapun, kita tetap mendapat pahala membaca surah Yasin tetapi tidak mendapat pahala mengikut sunnah Nabi.
Adalah sampai pahala bacaan al-Quran kepada arwah si mati yang diniatkan..

0 comments:

Related Posts with Thumbnails