Friday, June 6, 2008

ARTIKEL-ARTIKEL PILIHAN

"Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan SEPARUH bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.

Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.

Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.

Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.

Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir

"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya

"Study last minute"

"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"

"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.

Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348 )

Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.

Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Moga Perolehi Lailatul Qadar


Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138 ) . Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.


PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA BULAN REJAB

1.Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


KES BULI DI SEKOLAH : DI MANAKAH KESUDAHANNYA??

Perkembangan mutakhir telah memperlihatkan kepada kita akan gejala yang melanda negara kita berhubung dengan disiplin para pelajar di negara ini. Perbagai pihak telah memberikan pandangan berhubung dengan perkara ini, dan tidak kurang juga yang memberikan alasan-alasan mereka untuk melepaskan diri daripada tuduhan kegagalan mendisiplinkan para pelajar terutamanya yang berada di peringkat sekolah menengah.

Apa yang pasti ialah rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan musibah keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar kita. Dan pastinya juga pelbagai persoalan timbul di benak fikiran kita. Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan ibubapa dan keluarga? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini? Bagaimana pula reaksi institusi agama dalam menanganinya?

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja khususnya para pelajar ekoran berlakunya kes-kes buli yang dahsyat dan juga kewujudan kumpulan-kumpulan samseng di sekolah-sekolah sejak sekian lama sehingga kini cukup memilukan hati kita semua, kerana ianya menggambarkan betapa biadap dan runtuhnya disiplin dan akhlak segelintir daripada golongan pelajar kita, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar yang beragama Islam.

Laporan terkini di dada-dada akhbar mengesahkan bahawa dalam bulan Februari 2009 sahaja sudah ada tiga kes buli yang dilaporkan dengan satu daripadanya menyebabkan kematian. Kematian adik Mohd. Hadzrin Mohamad, di Cheras pada 21 Februari lalu setelah koma lapan hari akibat dipukul oleh sekumpulan 24 orang remaja adalah satu kes yang cukup menyayatkan hati kita semua. Sementara itu di salah sebuah sekolah di Mukah, Sarawak pula peristiwa buli yang berlaku dirakamkan dan disiarkan ke dalam internet. Malah banyak lagi kes-kes buli yang berlaku yang kita pasti tidak dilaporkan kerana takut perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Jika kita mengimbau kembali kes-kes buli yang pernah berlaku di negara ini, mungkin akan segar kembali ingatan kita kepada kes buli yang menimpa adik Muhamad Afiq seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lipis yang menghadapi risiko lumpuh sepanjang hayat dipercayai akibat dipijak dibelakangnya dengan kasut polis kadet serta dihentak badannya ke almari. Begitu juga dengan kes adik Mohd. Hafizi Jumhari, seorang pelajar di salah sebuah sekolah di Batu Pahat yang kehilangan sebelah buah pinggang, kecederaan di hati, limpa, hempedu dan pundi kencing akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar pada tahun 2003. Lebih malang lagi apabila kes buli yang turut menyebabkan kematian seorang pelajar bernama Mohamad Farid Ibrahim hanya kerana enggan meminjamkan alat pemanas air, beliau diperlakukan seperti binatang dan dibelasah dengan kejam sehingga mati.

Kumpulan pelajar ini seolah-olah telah hilang pertimbangan diri dan kewarasan fikiran. Mereka bertindak sesuka hati dan perbuatan mereka terkeluar dari jangkaan kita yang waras. Sekolah seolah-olah bukan lagi tempat yang selamat untuk para pelajar. Kalau dulu sekolah dapat berperanan di dalam memberi perlindungan kepada para pelajar daripada keganasan, namun kini persekitaran di sekolah mendedahkan mereka kepada keganasan di mana mereka juga akan mempelajari keganasan. Mereka terdedah kepada hukuman di dalam bentuk fizikal dan hukuman di dalam bentuk psikologi yang agak kejam dan memalukan, serta keganasan yang berdasarkan jantina dan berbentuk seksual, dan sebagainya.

Menurut kajian gangsterism di sekolah menengah harian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia (Abdullah Sani Yahya, 2005), daripada 1560 buah sekolah di Malaysia, 459 daripadanya terdedah kepada budaya dan pengaruh gangsterim. Berdasarkan kepada kajian ini, kita sangat bimbang apakah bentuk kegananasan yang akan lahir pula di sekolah-sekolah di negara ini beberapa tahun akan datang.

Selain itu kita juga sangat bersimpati dengan para guru di sekolah-sekolah yang terbabit apabila imej sekolah yang selama ini dianggap mulia, tempat mencurahkan ilmu bagi mendidik anggota masyarakat, telah menjadi mangsa segelintir pelajar yang masih terbelengu dengan perangai yang tidak bertamadun. Bagaikan pepatah "madu diberi, tuba yang dibalas".

Mungkin segala apa yang telah berlaku ini akan terjawab apabila kita sanggup memuhasabah diri dan seterusnya mengkaji serta menilai kembali pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan terutamanya golongan remaja dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak, kita semua harus insaf betapa kemerosotan akhlak dan moral pelajar serta generasi muda menandakan ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan, sama ada formal atau tidak formal.

Sebelum dikaji konsep pendidikan, kita juga perlu sedar dan insaf bahawa pendidikan bukanlah tugas pihak tertentu sahaja, tetapi adalah amanah dan tanggungjawab semua - meliputi individu, ibubapa dan keluarga, pemimpin masyarakat dan negara.

Setiap insan bertanggungjawab, bahkan wajib mendidik dirinya sendiri dengan mencari pelbagai cabang ilmu dan maklumat serta memilih pengalaman hidup yang bermanfaat bagi membentuk cara berfikir dan bertindak yang tepat dan dapat diterima oleh agama, budaya dan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan secara menyeluruh. Tegasnya, pendidikan adalah tanggungjawab setiap individu dan dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Dari sudut penakrifannya, pendidikan adalah "suatu proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada insan". Prof. Syed Mohd. Naquib al-Attas telah mendefinisikan pendidikan sebagai "satu usaha atau proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia". Sementara Dr. Abdul Halim el-Muhammady pula menyatakan bahawa "pendidikan Islam itu sebagai satu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan as-Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta ilmuan muktabar dengan matlamatnya untuk melahirkan insan yang soleh". Dan Imam al-Ghazali pula mengatakan "pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik". Secara umumnya, daripada pandangan-pandangan di atas kita boleh mengatakan bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan bermatlamatkan melahirkan insan yang sempurna dan berakhlak mulia serta ianya proses yang mengambil masa yang panjang.

Walau apapun takrifan yang diberikan, dalam memahami pengertian pendidikan, tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu proses pendidikan, jenis ilmu dan konsep insan. Kebiasaannya, proses pendidikan dilaksanakan dengan perantaraan pelbagai sistem atau peralatan canggih bagi menyalurkan ilmu dan maklumat.

Bagi golongan pendidik, terutamanya para guru mereka perlulah memiliki minat yang mendalam, kewibawaan menyampaikan ilmu dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan. Para pelajar sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak ‘commited' atau bersungguh-sungguh, apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam perkara yang dianggap remeh seperti cara bercakap dan berpakaian. Rasa hormat kepada guru adalah antara syarat asas dalam memastikan kejayaan penyaluran ilmu dan nilai-nilai yang baik kepada para remaja.

Sementara dalam penyaluran ilmu yang tidak formal pula seperti dalam institusi keluarga, ibubapa perlu sentiasa menyingkirkan sifat buruk daripada menjadi amalan dalam rumahtangga. Bayangkan konflik jiwa kepada anak-anak jika ibubapa setiap hari menghantar anak ke kelas fardu a'in tetapi si anak mengetahui ibubapanya tidak pernah solat atau cuma ke masjid seminggu sekali.

Sementara dalam bidang kepimpinan pula, pemimpin perlu mengawasi diri daripada bersikap "cakap tak serupa bikin" untuk memastikan keberkesanan kepemimpinannya. Ini sebenarnya juga suatu bentuk pendidikan. Mereka yang dipimpin akan sentiasa melihat dan menilai apakah yang dilakukan oleh pemimpin dan bagaimanakah rupa bentuk akhlak yang diperlihatkan oleh pemimpin mereka.

Pendeknya, untuk melahirkan golongan pelajar yang berakhlak mulia, ianya memerlukan kepada penglibatan yang bersungguh-sungguh dari semua pihak. Tanpa kerjasama dari setiap pihak yang terlibat akan membantutkan usaha untuk mendisiplin mereka. Kita tersangat bimbang masa depan para pelajar kini lebih-lebih lagi di era globalisasi yang tiada lagi batas sempadan komunikasi yang menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.

BUKTI KEBESARAN ILLAHI

): Beberapa Penemuan Saintifik Melalui Berwuduk: 1.Apabila air dingin melalui tubuh yg letih ia mampu melancarkan peredaran darah membuatkan tubuh lebih segar. 2.Air dingin meningkatkan keupayaan sel darah putih dalam tubuh serta meningkatkan sistem pertahanan tubuh melawan virus. 3.Berwuduk di waktu pagi meningkatkan produktivit hormon estrogen sekaligus meningkatkan tahap kesuburan. 4.Boleh memperbaiki jaringan kulit dan buat kuku lebih sihat dan kuat.. 5.Air dingin pada waktu pagi mampu menghasilkan ion2 negatif yang boleh meneutralkan darah dan membantu menyerap oksigen dengan lebih optimal sehingga wajah kelihatan lebih cerah dan berseri

Saya baru dapat satu ilmu dari seorang guru dan ingin berkongsi bersama.

Kata nya dalam masyarakat Islam ada 7 golongan manusia dalam menuntut ilmu.

1. Orang yang menuntut dan mencari ilmu kerana ilmu semata mata.Dia seronok, mabuk dan asyik dengan ilmu.Mabuk ilmu hingga yang ada tidak mahu kahwin kahwin, kerana katanya belum puas belajar.Ini adalah golongan yang mabuk ilmu.
2. Orang yang mencari ilmu kerana bercita hendak dapat jawatan tinggi saperti mufti dan bergaji besar.Dengan ilmu juga dia boleh berniaga dan jadi kaya dan mendapat banyak harta.Ini lah golongan yang menggunakan ilmu untuk meraih kekayaan.
3. Ada orang mencari ilmu kerana bercita cita menjadi pemimpin.Seorang yang jadi pemimpin mesti berilmu.Ini adalah golongan yang menggunakan ilmu untuk menjadi pemimpin.
4. Ada juga orang yang mencari ilmu kerana hendak kan glamour.Agar orang kata dia intelek.Inilah golongan ahli ilmu yang tujuan nya hendak dapat nama.
5. Ada orang belajar ilmu kerana hendak keluar daripada kejahilan dan kebodohan.Agar dia tidak di pandang hina.Inilah golongan yang mendapatkan ilmu supaya diri tidak terhina.
6. Ada orang menuntut ilmu kerana ingin membangun dan maju demi kedaulatan dan kemegahan bangsa dan negara.Agar jangan bangsa nya mundur dan terhina.Ini lah golongan ilmuan yang berfahaman nasionalisme.
7. Ada orang yang menuntut ilmu kerana perintah Allah.Juga dengan tujuan agar dapat amal ilmu supaya boleh mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah.Golongan ini menggunakan ilmu untuk membangunkan Islam dalam berbagai bagai aspek saperti ekonomi, pertanian, bangunan, sekolah, jalan raya, pembangunan insan dan lain lain.Ini adalah dengan tujuan agar dapat melindungi iman, memperkuatkan syariat, membesarkan syiar Islam dan mendaulatkan hukum hukum Tuhan.Ini lah dia golongan ilmuan yang bertaqwa.


Kita umat Islam dalam menuntut Ilmu biarlah menjadi golongan yang ke 7 ya itu mencari ilmu kerana Allah Taala.Kalau belajar bukan kerana Allah maka rugi lah, kerana mungkin untung di dunia tetapi rugi di akhirat saperti yang di nyatakan dalam Hadis yang di tulis di awal tulisan tadi.Wal'iyazubillah




Sejarah kemunculan nasyid di Malaysia

Irama nasyid sudah dikenali di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Perkembangan itu juga selari dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an. Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanahair dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.


Faktor Ikhlas sebagai X-Factor

Apabila kita mengkaji dan menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan seekor semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.


Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata.


“By Allah’s Will”

Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita. Teringat penulis seorang pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat “by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun sedikit.


Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah

Kembali kepada topik, hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logic akal dan nafsu. Hati-hati manusia di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.


Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat; NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas hatta penulis sendiri sekalipun. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan royalty mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa, dengan popularity mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebagainya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.


Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah, 30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung. Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada Alhamdulillah.

Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dasawarsa ini.


Nasyid bukan dakwah?

Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid. Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka. Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Maka, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya. Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.

Kudus KasihMu

Ku intai kasih dari kamar hatiku
yang kudus bertemankan kesepian
menyingkap tirai keampunan
dari jendela kehambaan
oh Tuhan kepadaMu kusandar harapan

Ku singkap maghfirah dan inayahMu
untuk ku berteduh di rimbunan kasihMu
ku pintal benang keinsafan
dalam kehidupan insan
melestari sebuah kedamaian

Kini ku sedari diri aku ini
dibaluti debu-debu- kejahilan
Kerna aku lemas dalam lautan dunia
tak terdaya melawan syaitan yang menggoda

Seringkali ku cuba
berenang ke tepian
tebing keimanan menggapai rahmatMu oh Tuhan
Gerimis yang berguguran
dikala kesyahduan
menyaksikan air mata berlinangan

Ku terkapai mencari haluan keimanan
untuk ku berpaut di dahan ketaqwaan
kasih yang ku dambakan
bukannya kasih igauan
mengimpikan mahligai taman syurga Tuhan

Hidup ini bukan untuk dimiliki
hidup ini bukan untuk dikhianati
tapi hidup ini untuk kita lalui
satu jalan yang kadangkala sepi
satu nikmat yang penuh bererti
dalam menuju destinasi abadi
hidup yang bahagia
tak selamanya indah
hidup yang derita
tak selalunya gundah
jalan yang dipilih
kadangkala tersalah dan tersasar
namun mungkin jua betul
andainya keliru
minta petunjuk Tuhanmu
kiranya buntu
pohonlah bantuan dari Yang Satu
moga kau tak tersalah
dalam mengatur langkah
moga IMAN menjadi nakhoda
dalam pelayaran bahtera
hidupmu merentas pulau dunia
menuju singgahsana syurga...

0 comments:

Related Posts with Thumbnails