Friday, December 25, 2009

PREVIEW MIMBAR'09













Syukrulillah..secangkir kasih Illahi tercurah buat hamba-Nya.Akhirnya,tirai MIMBAR'09 berlabuh jua di Dewan Perdana, lahad Datu.Jutaan terima kasih kepada semua artis yang terlibat DATO' USTZ SITI NOR BAHYAH,RABBANI,FAR EAST, FIRAST..Kehadiran penonton pada malam itu yang memenuhi setiap ruang Dewan atau dalam erti kata lain, tiket masuk SOLD OUT!!cukup mengharukan ana selaku Pengarah Program..sesuatu memori yang bermakna buat catatan peribadi ana di daerah asing ini.

Golongan masyarakat yang merangkumi segenap usia termasuk ibu bapa, anak-anak kecil, belia dan semuanya yang dahagakan curahan ilmu dalam program yang julung-julung seumpama ini meruapakan suatu petanda bahawa suara da'wah itu terus bergema dan berkumandang di bumi bertuah ini.

Dato' Ustazah, Rabbani dan Far East sendiri turut menzahirkan keharuan mereka tatkala menyaksikan kehadiran warga Lahad Datu yang memenuhi ruang tempat duduk sehinggakan ada yang membayar tetapi masuk tanpa tiket kerana kehabisan..

Sekali lagi titisan jernih air mata ana menitis melihat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan warga Lahad Datu tak kita bangsa dan keturunan,ada yang datang jauh dari Felda Sahabat, Tawau, Semporna dan kawasan-kawasan jauh yang sewaktu dengannya.Pastinya,situasi ini amat mengujakan ana dan insyaAllah program murni akan diteruskan pada masa-masa akan datang dengan izin-Nya jua insyaAllah

Sekalung penghargaan jua buat semua penaja di LD yang setia dengan program2 ustmanis sejak dari MANIS'05 lagi sehingga saat MANIS'09 kini,tidak jemu menghulurkankan sumbangan bermakna dalam menjayakan program sentuhanku ini..barisan rakan-rakan guru AJK dan semua yang terlibar langsung atau tidak langsung..JAZAKUMULLAH KHAIRAN KATHIRA...

Segala kekurangan,kecacatan dan kelemahan insyaAllah akan diperbaiki pada masa-masa mendatang..Maaf segalanya.TERIMA KASIH!!!

USTMANIS JUNIOR feat INTEAM









Aksi MUHAMMAD FATHURRAHMAN ibnu USTMANIS bersama sahabat seperjuangan walidnya INTEAM sewaktu KONSERT TAUTAN KASIH di kolej kemahiran tinggi MARA, Balik Pulau baru-baru ini..bukan main lagi dia ya..ikut show lagi!!!

Tuesday, December 15, 2009

RASULULLAH S.A.W DENGAN SEBIJI LIMAU

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.


Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka.


Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan


"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung.
Sebab tu saya habiskan semuanya."


Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

NABI SULAIMAN A.S DENGAN PEMUDA SOLEH

NABI Sulaiman A.S dikurniakan oleh Allah SWT kelebihan yang istimewa dan memiliki banyak mukjizat. Dengan izin Allah, baginda boleh melihat sesuatu yang terselindung daripada pandangan mata manusia biasa.

Pada suatu hari, baginda berjalan-jalan di tepi laut untuk melihat kebesaran Allah SWT. Tiba-tiba baginda terlihat ada sesuatu yang menakjubkan di dalam dasar laut itu. Kemudian baginda memerintahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dasar laut untuk mengetahui benda tersebut.

Jin Ifrit pun terus menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan benda yang ajaib itu tetapi tidak menemuinya. Kemudian, Ashif bin Barkhiya, iaitu seorang lelaki telah menawarkan dirinya untuk menyelam ke dasar laut tersebut, dan dia telah menjumpai suatu benda yang berupa sebuah kubah.

Dia sangat kagum dengan kecantikan kubah tersebut lalu mengangkatnya dan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman.

"Alangkah indahnya kubah ini. Aku berasa hairan dibuatnya. Aku telah dikurniakan oleh Allah mukjizat sehingga pandanganku dapat menembusi segala sesuatu yang terselindung. Tetapi kali ini aku tidak dapat melihat sesuatu di dalam kubah ini," kata Nabi Sulaiman.

Lalu baginda pun berdoa kepada Allah agar dapat melihat isi kandungan kubah itu. Doanya dikabulkan oleh Allah, dan kubah tersebut terbuka pintunya. Di dalamnya ada seorang pemuda sedang sujud sambil memuji Allah tanpa henti-henti.

"Siapakah engkau. Manusia, jin, atau malaikat?" tanya Nabi Sulaiman.

"Aku seorang manusia biasa," jawab pemuda itu.

"Bagaimana engkau memperoleh kemuliaan serupa ini?" tanya Nabi Sulaiman.

"Kerana aku telah berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuaku," jawab pemuda itu.

Pemuda itu pun menceritakan kepada Nabi Sulaiman tentang kisahnya memelihara kedua-dua ibu bapanya. Mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh dan kuat imannya. Sejak kecil dia dipelihara oleh ibu bapanya dengan didikan yang baik dan mereka sentiasa mendoakannya menjadi anak yang soleh.

Bapanya telah meninggal dunia. Kemudian dia telah memelihara ibunya yang sudah tua, buta, lumpuh, lemah dan selalu sakit. Ibunya sangat mengharapkan dia supaya menjaga dan menguruskan segala keperluannya.

Dia selalu menyuapkan makanan ke mulut ibunya, memberi minuman dan memandikannya. Ibunya selalu berdoa kepada Allah supaya dia akan dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidupnya. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ibunya telah berdoa agar dia diberikan tempat bukan di bumi dan bukan juga di langit.

Suatu hari pemuda itu berjalan-jalan di tepi laut. Dia melihat sebuah kubah, lalu masuk ke dalamnya. Pintu kubah itu tiba-tiba tertutup. Pemuda itu pun berdoa kepada Allah, lalu kubah yang gelap itu tiba-tiba menjadi terang benderang.

Suasana di dalam kubah itu berubah menjadi kebun yang dipenuhi dengan pohon-pohon, kolam air susu dan madu, suara-suara yang merdu dan segala makanan yang lazat. Jika dia lapang, dia akan memetik buah-buahan yang pelbagai rasa itu. Jika dia dahaga, sudah tersedia di hadapannya pelbagai macam minuman yang lazat.

Oleh kerana pemuda itu mahu meneruskan solat dan zikirnya kepada Allah, Nabi Sulaiman dan para pengikutnya terpaksa keluar dari kubah tersebut. Kemudian baginda memerintahkan supaya mengembalikan semula kubah itu ke dasar laut. Setelah itu, pulanglah baginda bersama bala tenteranya menuju ke istananya.

MEMBERSIH HATI NURANI

Hati ibarat permata atau jauhar. Sekiranya elok dan bersih hati seseorang anak adam itu maka eloklah seluruh anggotanya. Jika buruk hati seseorang anak adam itu maka rosaklah seluruh anggotanya.

Hati ibarat raja yang memerintah anggota-anggota lain didalam badan. Anggota-anggota ini termasuklah tangan, mata,telinga diibaratkan sebagai tenteranya.

Perbuatan seseorang itu bergantung kepada hatinya. Sekiranya hati itu menyuruh ke jalan kebaikan maka anggota itu akan bertindak ke arah kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

Allah SWT melihat hambanya pada zahir dan batin. Walaupun pada zahirnya seseorang hamba melakukan ibadat, namun Allah SWT melihat kepada batinnya. Ia itu sama ada hati hambanya ikhlas atau tidak semasa melakukan ibadat tersebut.

Janganlah menyangka bahawa seseorang yang memakai serban dan jubah, dengan wajahnya ada janggut yang kemas melambangkan kewarakan seseorang itu. Bagi kita mungkin percaya orang ini alim. Tetapi perlulah kita ingat dan sedar bahawa sekiranya hati orang ini tidak ikhlas beribadat, mempunyai sifat-sifat seperti ujub, riak dan sombong, maka sifat-sifat adalah penyakit hati yang akan merosakkan ibadatnya.

Hati yang dimaksudkan adalah hati kecil kita iaitu hati sanubari. Hati sekiranya tidak dibersihkan dengan zikirullah akan hilang cahayanya atau nur. Sekiranya hati bersih ibarat permata yang cahaya/nur terpancar di wajah anak adam itu.

Allah memandang hambanya bukan kepada kecantikan, kekayaan mahupun kekuasaannya didunia tetapi kepada amalannya yang ikhlas dan hati hambanya yang bersih.

Orang yang dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu berusaha sepanjang usianya untuk bertaqarub kepada Allah SWT kerana didorong rasa cinta mendalam terhadapnya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah SWT menjadikan seseorang itu sentiasa rindu kepadaNya.

Ditegaskan IBN TAIMIYAH:

"ZIKIR BAGI HATI ADALAH UMPAMA AIR BAGI IKAN, BAGAIMANA KEADAAN IKAN APABILA BERPISAH DARIPADA AIR?"

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah SWT dan menginsafkan diri tidak lebih sebagai seorang hamba yang sangat lemah selama ini menerima nikmat Allah SWT tidak terhitung banyaknya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"WAHAI ORANG BERIMAN, (UNTUK BERSYUKUR KEPADA ALLAH ) INGATLAH SERTA SEBUTLAH NAMA ALLAH DENGAN INGATAN SERTA SEBUTAN YG SEBANYAK-BANYAKNYA; DAN BERTASBIHLAH KAMU KEPADA-NYA PADA WAKTU PAGI DAN PETANG" (SURAH AL-AHZAB :41-42)

Ditegaskan oleh AL-IMAM AN-NAWAWI bahawa .....

ZIKIR TIDAK TERBATAS KEPADA TASBIH, TAHLIL, TAKBIR DAN LAIN-LAIN ZIKIR LISAN, MEREKA YANG BEKERJA KERANA ALLAH SWT JUGA ORANG YANG BERZIKIR KEPADA ALLAH SWT.




Zikir terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Zikit Hati, Lidah dan Anggota.

1. Zikir Hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah SWT di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluknya.

2. Zikir Lidah pula melantunkan pujian kepada Allah SWT mensyukuri nikmat kurniaNya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah SWT, memberi nasihat kepada sesama Islam.

3. Zikir Anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah SWT, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah SWT lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah SWT menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

Orang beriman tidak akan membiarkan hatinya berkarat dan penuh dengan kekotoran, ia akan sentiasa mengilap hatinya dengan berzikir kepada Allah SWT.

IBNU AL-QAYYIM AL-JAUZIYAH pernah berkata:

“TIDAK DIMUNGKIRI BAHAWA HATI ITU DAPAT BERKARAT SEPERTI BERKARATNYA BESI DAN PERAK. ALAT YANG DAPAT MEMBERSIHKAN HATI BERKARAT ADALAH ZIKIR. ZIKIR DAPAT MEMBERSIHKAN HATI BERKARAT SEHINGGA DAPAT BERUBAH MENJADI BENING SEPERTI CERMIN YANG BERSIH. APABILA SESEORANG MENINGGALKAN ZIKIR, HATINYA AKAN BERKARAT. DAN APABILA IA BERZIKIR, HATINYA AKAN BERSIH".

Sesungguhnya seseorang yang lalai daripada mengingati Allah SWT bermakna dirinya dihinggapi penyakit sombong, lupa asal kejadian diri sebagai makhluk lemah yang diciptakan semata-mata supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mewarisi sifat orang munafik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"SESUNGGUHNYA ORANG MUNAFIK ITU MENIPU ALLAH DAN ALLAH AKAN MEMBALAS TIPUAN MEREKA. DAN, APABILA MEREKA BERDIRI UNTUK SOLAT, MEREKA BERDIRI DENGAN MALAS. MEREKA BERMAKSUD RIAK (DENGAN SOLAT) DI HADAPAN MANUSIA. DAN, TIDAKLAH MEREKA MENYEBUT ALLAH, KECUALI SEDIKIT SEKALI". (SURAH AN-NISA: 142)

Orang yang memperbanyakkan zikir, dosanya akan diampun sekali gus mendapat ganjaran pahala besar seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

"LELAKI DAN PEREMPUAN YANG BANYAK MENYEBUT (NAMA) ALLAH, AKU SUDAH MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA AMPUNAN DAN PAHALA YG BESAR". (SURAH AL-AHZAB : 35)

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"INGATLAH, HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI MENJADI TENTERAM". (SURAH AL-RA'AD : 28)

Jangan sibuk dengan urusan lupa kepada Allah SWT. Sesunggu Allah SWT melarang keras seseorang memiliki sifat lalai seperti ditegaskan firman Allah SWT bermaksud:

"JANGANLAH KAMU TERMASUK ORANG-ORANG YANG LALAI". (SURAH AL-A'RAF : 205)

Friday, December 4, 2009

CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

Sudah menjadi sunatullah, orang yang berjaya pada tahap “biasa-biasa” sahaja ialah orang yang membawa hanya dirinya sahaja berjaya. Tetapi orang yang berjaya pada tahap luar biasa ialah orang yang membawa orang lain berjaya bersamanya. “No man becomes rich unless he enriches others” – tidak ada orang boleh menjadi kaya hingga dia “mengkayakan” orang lain.
Hakikat ini bukan sahaja dilihat dari sudut material, malah di sudut ilmu, iman, taqwa pun begitu juga. Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!
Hakikat ini semacam sudah tradisi dalam perjalanan hidup para Salafussolaeh zaman dahulu. Lihat sahaja Rasulullah s.aw. Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berjaya. Dan di bawah didikannya telah lahir ramai pemimpin-pemimpin lain yang berjaya. Antaranya Sayidina Abu Bakar ra, Umar ra, Uthman ra, Ali ra dan sebagainya. Begitu juga dikalangan ulama-ulama besar. Lihatlah betapa ramainya ulama yang dilahirkan hasil didikan Imam Safie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? Untuk itu kita mesti amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum!

RASULULLAH SAW PALING BANYAK MEMBERI

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.
Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Bukan sifat itu sangat rapat dengan sikap memberi? Apa yang baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan, disekat atau diselewengkan. Begitu tulus dan telus baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “dia memberi tanpa takut kepada kekurangan. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi baginda lebih terserlah daripada biasa. Sehingga disifatkan oleh ahli sejarah, tangannya umpama “angin kencang” yakni sangat laju dalam memberi sedekah dan hibah.
Semasa peristiwa Futuh Makkah (pembebasan kota Makkah) yang bersejarah itu, baginda telah memberi maaf kepada kafir Quraisy yang pernah menzalimi bahkan pernah berusaha untuk membunuhnya. Pernah baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkannya kepada fakir miskin. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya tentang kepentingan mendirikan solat walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus… as solah, as solah… Baginda masih memberi peringatan!

Sikap memberi Rasulullah saw ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan umumnya salafussoleh. Generasi yang hidup 300tahun selepas Rasulullah saw ini terus memberi masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu Islam telah tersebar di seluruh dunia.
Bayangkan apa akan jadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi ini terencat dan tersekat selepas kewafatan Rasulullah saw? Tentu sahaya dunia akan gelap dan manusia akan terus kufur. Sejarah mencatatkan 2/3 para sahabat Rasulullah saw telah mati di luar Semenanjung Arab semasa memikul tugas menyampaikan Islam. Ya, begitu agung dan tinggi sekali sikap memberi yang ada di dalam jiwa mereka.

TRADISI MEMBERI

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.

Begitu juga dengan ajaran puasa yang antara hikmahnya agar kita merasai kesusahan orang miskin dan dengan itu kita terdorong untuk memberi bantuan kepada mereka. Dan pada bulan Ramadan kita dianjurkan untuk bersedekah kepada fakir miskin, memberi makanan untuk orang berbuka puasa dan sebagainya. Manakala tuntutan mengeluarkan zakat adalah ditunjangi oleh kewajipan memberi kepada lapan golongan yang sangat memerlukan dalam masyarakat. Begitu juga dengan amalan berkorban binatang, aqiqah dan menjamu orang-orang miskin, semuanya berasaskan sikap memberi. Apabila ada pelanggaran hukum ataupun kesalahan dalam melaksanakan sesuatu ibadah – misalnya kewajipan membayar dam (dalam ibadah haji), kafarah (dalam ibadah puasa), diyat (jenayah membunuh) dan lain-lain, denda atau hukumannya selalaunya berasaskan sikap memberi seperti membebaskan hamba abdi, memberi makan fakir miskin dan lain-lain lagi.

Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi dalam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita “memberi” doa demi kesejahteraan saudara kita. Begitu juga dengan membalas salam, kita membalas pemberian doa itu dengan satu doa yang setimpal malah disunatkan lebih lagi. Kita digalakkan sering berziarah (ini memerlukan kita memberi masa, wang dan tenaga), memberi hadiah, mengucapkan tahniah, menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.

TUHAN ITU AL WAHHAB (MAHA PEMBERI)

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Nama-nama Allah seperti Al Rahman, Ar Rahim, Ar Razzak, Al A’fu, Al Ghaffar, At Tawwab adalah sangat berkait dengan sifat memberi. Malah salah satu nama Allah yang berkait secara langsung dengan sifat memberi ialah Al Wahhab (Maha Pemberi). Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan sehari.
Mari kita renungkan beberapa kriteria sifat Al Wahhab agar kita menyedari betapa hebat dan agungnya sifat memberi pada Allah . Berikut adalah sifat-sifat Al Wahhab:

i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
Berbeza dengan manusia yang sering memberi untuk mendapat balasan, Allah sebaliknya Maha kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Allah tidak memerlukan makhluk sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya. Allah mengurniakan begitu banyak nikmat, rahmat dan kurniaNya kepada setiap manusia, dan pemberian itu tidak mungkin dapat dibalas. Allah Maha Mengetahui hakikat itu, namun Allah terus memberi walaupun tidak dibalas oleh hamba-hamba-Nya yang kufur dan dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hamba-Nya yang taat.
Usahkan untuk membalasnya, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak kepada Allah. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertonggak, namun Allah tidak menarik semula nikmat pinjaman-nya kepada kita. Sekiranya Allah menghentikan pemberian-Nya, maka akan terhentilah perjalanan dunia dan seluruh kehidupan ini. Tetapi tidak begitu, walaupun begitu banyak “hutang” manusia kepada Allah yang tidak dilangsaikan, namun Allah tetap memberi… kerana Allah memberi tanpa minta dibalas.

ii) Allah memberi sebelum diminta.
Kebanyakan manusia, hatta yang pemurah sekali pun, akan memberi setelah diminta oleh orang lain. Allah sebaliknya, memberi sebelum diminta oleh makhluk-Nya. Manusia bersifat pelupa. Sering kali kita lupa meminta apa yang kita sendiri perlukan dalam hidup. Namun, Allah Maha Penyayang, Dia memberikan juga kita rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk meminta perkara-perkara itu dalam kehidupan ini.
Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika Allah memberi hanya apabila kita memintanya? Boleh bernafaskah kita saat ini sedangkan pagi tadi kita “terlupa” memohon oksigen? Apakah kita masih beragama Islam pada hal kita sering lupa meminta dikekalkan hidayah ini di dalam diri kita? Mujur dan syukur, sifat Al Wahhab Allah itu terus pro-aktif (jika boleh dikatakan begitu) memberi, sentiasa dan selamanya, walaupun manusia sering lupa memintanya.

iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
Sejak di alam rahim lagi manusia telah mengecap nikmat Allah yang tidak henti-henti dan berulangkali. Dalam tubuh manusia terjadi terjadi pelbagai proses yang unik dan kompleks. Proses bernafas, pernafasan, penghadaman, perkumuhan, pembiakan dan lain-lain sentiasa berlaku secara konsisten. Jantung terus mengepam, buah pinggang terus menyaring, neuron dalam akal terus berfungsi sejak bermulanya kehidupan.
Bukan itu sahaja malah ada berjuta-juta lagi proses yang sentiasa berlaku dalam seluruh makhluk ini – daripada haiwan, tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang hinggalah ke seluruh semesta alam ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidup, mematikan, menjalankan dan memberhentikan. Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan dan pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali. Untuk siapa? Ya, untuk manusia – khalifah di muka bumi.
Semua itu dalam kekuasaan Allah yang tidak alpa, letih, mengantuk, tidur dan lemah untuk memberi berulang kali dan berterusan. DIA mahu memberi berulang kali. Kekuasaan-Nya sangat hebat, sehingga DIA mampu memberi secara berterusan. Sebaliknya, kasih-sayang dan kekuasaan makhluk ada batasnya… kita tidak mahu dan mampu memberi secara berulang kali dan berterusan.

iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
Allah memberi sesuatu dengan tujuan. Tuhan tidak memberi sesuatu dengan sia-sia. Manusia diciptakan dengan tujuan yang besar – hamba Allah dan khalifah di muka bumi). Oleh itu apa sahaja yang diberikan Allah adalah “besar” demi melaksanakan tujuan yang besar itu. Allah memberi manusia nikmat zahir yang berupa harta, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Allah jua memberi manusia nikmat batin yakni ilmu, akal, hidayah, iman, taqwa dan lain-lain. Semua itu sangat berharga sama ada dinilai dari sudut material mahupun dari sudut rohani.
Manusia memberi juga tetapi sering kali yang diberikan itu sesuatu yang tidak berharga. Berapa banyak produk-produk yang tidak berkhasiat malah ada yang beracun beredar di pasaran. Begitu juga dengan perkhidmatan yang sering mengeksploitasi dan memanupulasi pelanggan. Sehingga dengan itu terpaksa digubal pelbagai undang-undang dan akta untuk melindungi para pengguna.

v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan
Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya. Dengan segala yang baik itu Allah inginkan hamba-Nya melakukan kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, kebaikan yang diberikan kepada kita bertujuan untuk kita memberi kebaikan kepada yang lain. Antara pengertian manusia sebagai khalifah (mengikut sesetengah ulama) ialah memberi kebaikan kepada diri, orang lain dan persekitarannya.
Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!

TIRULAH SIFAT AL WAHHAB

Kita dituntut meniru sifat Al Wahabb ini walaupun mustahil kita mampu menyamai-Nya.
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
Maksudnya, orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima. Oleh sebab itulah, ramai ulama berpandangan menjadi orang kaya yang syukur adalah lebih utama berbanding orang miskin yang sabar. Mengapa?
Selain daripada kesukaran mengawal hati agar tidak lalai ketika memiliki kekayaan berbanding mengawal hati agar tidak resah ketika ditimpa kemiskinan, orang kaya yang bersyukur adalah lebih baik daripada orang miskin yang sabar kerana orang kaya yang syukur lebih bermampuan untuk memberi.
Jika kesabaran simiskin hanya bermanfaat buat dirinya, sebaliknya sifat dermawan sikaya memberi manfaat kepada orang lain. Pemberian zakat, sedekah dan hadiah daripada orang kaya melimpah ruah manfaatnya kepada masyarakat. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

MANFAAT DARIPADA MEMBERI

Apakah manfaat daripada sikap memberi? Mengapa Islam sangat menggalakkan bahkan kekadang mewajibkan umatnya untuk memberi? Antara manfaatnya ialah:

i) Mengikis sifat mazmumah.
Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain. Harta, ilmu, kuasa dan apa yang kita miliki adalah punca sifat-sifat mazmumah. Dengan menyimpannya sahaja (tanpa memberi), samalah seperti menyimpan “virus” yang sangat berbahaya pada hati kita. Sebab itu kita diwajibkan mengeluarkan zakat.
Istilah zakat itu diambil daripada kata asal “zakah”, ertinya membersihkan. Ertinya, zakat fitrah membersihkan diri, manakala zakat harta membersihkan harta. Oleh itu jika kita tidak mengeluarkan zakat, diri dan harta kita akan “kotor”. Kekotoran diri dan harta inilah yang menyebabkan kekotoran hati. Hati yang kotor adalah punca penyakit mazmumah.
Sebaliknya dengan memberi zakat, kita umpama mengeluarkan toksid-toksid daripada diri, harta seterusnya hati kita. Bila hati sihat, kesihatan itulah yang akan menumbuhkan sifat-sifat mahmudah seperti tawaduk, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Yakinilah, sikap memberi adalah terapi, ubat dan penawar kepada penyakit-penyakit hati. Sebab itu bijak pandai mengungkapkan:
“Memberi lebih gembira daripada menerima.”

ii) Mendapat lebih banyak.
Percayakah kita bahawa dengan memberi kita akan mendapat lebih banyak? Maksudnya, dengan memberi, harta, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain milik kita tidak akan berkurangan malah akan bertambah. Ini disebabkan sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk memberi apa yang kita miliki, Allah akan membuka pintu rezeki, ilmu dan iman yang lebih luas untuk kita. Walaupun niat kita memberi bukan untuk menerima, tetapi hakikatnya siapa yang banyak memberi dialah yang akan lebih banyak menerima.

Kita perlu yakin bahawa setiap 1 yang kita berikan di jalan Allah, Allah akan gandakan 700 kali sebagai balasan. Ini suatu yang menakjubkan. Apakah ada pelaburan di mana-mana istitusi kewangan atau perbankan di dunia hari ini yang mampu membayar dividen atau pulangan sehingga 700 kali ganda? Jawabnya, tidak ada. Namun itulah janji Allah. Dia Maha Kaya dan Maha Pemurah. Malah pada situasi-situasi yang lebih istimewa dan khusus, Allah telah menjanjikan pembalasan pahala tanpa hisab (tanpa hitungan lagi) kepada para hamba-hamba-Nya yang juga istimewa.
Bagi orang yang sabar, Allah telah berjanji memberi ganjaran tanpa hisab. Manakala untuk orang yang berpuasa, Allah telah berjanji melalui lidah Rasulullah saw untuk memberi pahala mengikut kehendak-Nya yang tidak terbatas lagi.
iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.
Dengan hanya berfikir untuk mendapat, kita akan menjarakkan. Sebaliknya bila kita berfikir untuk memberi, kita akan merapatkan. Hukum kasih sayang menyatakan bahawa jika hendak disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi. Hanya dengan “memberi” kasih sayang kita akan mendapatnya.

Sebaliknya, sikap tidak mahu memberi akan mencetuskan perbalahan. Kata bijak pandai, “all getting separates you from others; all giving unites to others” – hanya berfikir untuk mendapat akan menjauhkan diri kita daripada yang lain; hanya berfikir untuk memberi akan menyatukan kita dengan yang lain.
Begitu juga jika kita hendak difahami, mesti terlebih dahulu memahami – “first seek to understand than to be understood” – bertindak dahulu untuk memahami baru kita akan difahami. Sikap memberi sangat penting untuk mencipta keharmonian dan sebarang bentuk komunikasi.

Kemesraan dalam perhubungan disebabkan sikap memberi. Sikap memberi boleh dilihat dalam perbualan sehari-hari. Orang yang memberi lebih banyak mendengar daripada bercakap dalam berkomunikasi. Percayalah dengan lebih banyak mendengar, kasih sayang dan cinta akan lebih bersemarak. Ingatkan kita pada ungkapan, the first duty of love is to hear? (Tugas cinta yang pertama ialah mendengar?) Ini bermakna dengan memberi (dalam konteks ini bersedia menjadi pendengar), kita telah bersedia menjadi kekasih, sahabat, saudara, pemimpin atau majikan yang lebih baik.
Cinta itu bererti kita bersedia untuk memberi… bukan untuk menerima! Siapa yang lebih cinta dialah yang lebih banyak memberi. Jika kurang berkuranglah cinta. Bila kurang rasa cinta, tergugatlah perpaduan dan rengganglah perpaduan. Oleh itu hidup ini adalah untuk memberi bukan sebaliknya. Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan – buat diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Hanya dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.
Malangnya, ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat bukan memberi dalam hidup ini. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. “We are here to complete not to compete!” Kita di dunia ini bukan untuk bertanding tetapi untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Ironinya, dengan banyak memberi kita akan lebih banyak menerima. Lihatlah “figur-figur” yang berjaya, hampir semuanya terdiri daripada orang yang banyak memberi. Manakala mereka yang hanya memikirkan untuk mendapat kerap kali tertipu oleh apa yang didapatinya. Mereka mungkin lebih kaya, tetapi lebih derita pula jiwanya. Mereka mungkin ternama, tetapi lebih runsing pula mindanya. Dengan hanya berfikir untuk mendapat, percayalah kita akan menemui fatamorgana dalam kehidupan ini.
Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak “memiliki” tetapi kerana banyak “memberi”.

Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana DIAlah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat…
Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyuman itu ada dua. Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk menggembirakan. Senyum untuk menggembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis:
“Senyum simpulmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.”
Senyum yang pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan. Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya-Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah swt. Bijak pandai sering mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang di samping kita tidak bahagia. Ertinya, kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?
Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.

Related Posts with Thumbnails