Saturday, February 20, 2010

SALAM WIDA'...


Sepi mencengkam rasa,memaksa diri ini untuk mencoret kata menyusun bicara berkongsi apa yang terbuku di kolam jiwa..Kalimah syukur pastinya tidak akan terhenti lafaznya dibibir jua dihati atas segala ni’mat kurnia serta anugerah buat hamba yang seringkali alpa. Maha Suci Allah Tuhan Maha Pencipta yang tidak pernah ‘jemu’ untuk mencurahkan kasih, sayang dan cintaNya yang menggunung tinggi buat hamba-hambaNya biar kita jarang sekali menyebut asma’Nya bagi setiap nafas yang terhela.

Di lembaran ini, ingin aku titipkan bicara buat tatapan insan yang sudi menatap warkah dari hati yang kudus dan tulus..semoga ada manfaatnya.Bibir ini seakan terkunci rapat, tidak pasti di mana harus ku mulakannya!Sehingga saat ini, diri ini masih belum punyai kekuatan untuk melafazkan sesuatu yang pasti, bukan lagi ilusi di sini iaitulah EPISOD PERPISAHAN di bumi borneo. Namun, akan ku gagahi jua untuk melafazkannya dan apa yang pasti kini saat itu telah pun tiba biarpun kita cuba mengatur langkah seribu untuk lari daripadanya, debaran turut kian terasa..

InsyaAllah tanggal 21 Feb 2010, jam 2.40 petang dengan izin-Nya jua, maka kaki ini melangkah pergi meninggalkan segala bingkisan memori nan abadi sepanjang 5 tahun 1 bulan 8 hari 5 jam diri ini mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan di bumi bertuah bernama LAHAD DATU. Mungkin jua episod perpisahan ini adalah buat selamanya, mungkin jua ia hanya sementara cuma..Yang pasti Allah lebih mengetahui segala rahsia.Kita, manusia bisa merencana namun hakikatnya rencana Illahi itu adalah lebih haq dan baik serta indah aturannya.

Sejujurnya, hati ini amat merasa bertuah kerna dengan keizinan daripadaNya jua, banyak kisah, sejarah serta epilog indah telah tercipta di daerah asing ini. Sepagaya, Lahad Datu pasti akan terus bersemadi ‘dihati’ kerana DISITULAH DIRI INI BERMULA tatkala bergema kalimah keramat bersaksikan matahari jua malaikatNya..Di atas suatu pentas, di bawah satu bumbung, sejarah telah membuktikan 1001 episod indah lagi bermakna yang telah terukir sewaktu diri ini mula bertatih, jatuh, rebah, bangun kembali, berjalan, menapak selangkah demi selangkah serta terus berlari di medan da’wah ini..

Terukir jua terciptanya nama USTMANIS di bumi Lahad Datu, pastinya ‘hadiah’ dan mahar yang paling mahal pernah diterima daripada warga Lahad Datu sehingga diri ini dikenali dan bisa berdiri sebagai USTMANIS seperti hari ini. Ku amat menghargai sebuah pengiktirafan tertinggi ini. Sokongan, kepercayaan jua doa restu khusus daripada warga Lahad Datu telah menguatkan kaki ini untuk berdiri gagah di medan juang ini. Sokongan ini jualah merupakan sumber kekuatan dan insipirasiku untuk berkarya di bumi ini.Dengan segala apa yang dimiliki hari ini, tidak pernah terlintas untuk mengangkat dan meninggi diri, cuma sekadar merai dan menghargai segala bakat dan potensi anugerah Illahi yang jua merupakan ujian buat hati..kelebihan yang harus dikongsi.

Setelah bicara demi bicara yang telah terlafaz, epilog berganti epilog, lagu demi lagu yang pernah tercipta, irama berganti irama yang pernah dialunkan, program demi program yang terlaksana, sejarah berganti sejarah yang tercipta, titisan demi titisan air mata yang gugur, maka kini tibalah detik waktu untuk diri ini hanya melihat pepohon subur nan merendang dari kejauhan setelah benih-benih dan baja sudah ditabur selama ini. Teringat aku tatkala baginda Nabi Muhammad s.a.w tika berada di hujung nyawa, sewaktu Jibril datang bertamu untuk menjemput ruh suci baginda untuk di arak ke syurga sana, baginda sempat menukilkan beberapa kalam bicara yang berbunyi : "Jangan sesekali kamu menyembahku, kerana aku jua bakal pergi..tapi sembahlah Allah dan berpeganglah kamu pada agamaNya, kelak kau temui CINTA SEJATI, kerana Tuhan itu tidak akan dan tidak pernah meninggalkanmu."

Sepanjang lebih 5 tahun di Lahad Datu, program-program da’wah seperti BERSAMAMU, MOTIVASI, PERSEMBAHAN PENTAS (NASYID) telah membawa insan kerdil ini menjelajah ke seluruh pelusuk ceruk dan rantau..meredah ladang sawit nan terbentang, menyusur denai dan lembah, dari desa turun ke kota, kampung-kampung terpencil merentasi Tanjung Labian nun di hujung Timur, bersambung ke Simpang Mangayau Kudat terus ke daerah kecil di hujung Beaufort dan Sipitang sehinggalah segalanya berakhir di puncak tertinggi Asia Tenggara Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4095.2m tepat jam 5 pagi 17 Feb 2010. Jiwa seorang perantau tidak mungkin kan pudar dengan pemergian ini..insyaAllah. Hanya itu yang sempat ku kongsikan bersama biarpun sebenarnya terlalu panjang episod jika ingin dicoretkan di lembaran ini..

Sesungguhnya, epilog dan episod yang dapat ku coretkan di sini semuanya indah dan MANIS belaka memorinya, tercipta segalanya dengan izin-Nya jua. Syukrulillah kathira untuk kesekian kalinya dirafa’kan kehadratNya atas apa jua yang ‘dipinjam’kan sementara buat diri yang kerdil dan hina ini.
Buat anak-anak didik, penyokong-penyokong setia, teman-teman, sahabat handai yang pernah mengenali diri ini di bumi Borneo, relakanlah pemergian ini biarpun kita masih memerlukan antara satu sama lain. Namun apa yang tersurat serta tersirat ini kita serahkan pada Tuhan Maha Pencipta yang selayaknya mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Semoga dengan pemergian ini tidak akan melemahkan semangat, jiwa, ruh dan seumpamanya yang sekian lama terbina kukuh tapak semaian iman. Dengan segunung harapan semurni impian,ingin ku lihat benih-benih yang ditanam akan tumbuh subur merentasi zaman biar jasad tidak lagi bersama namun kita tetap berpijak di bumi yang sama, berbumbungkan langit yang serupa, berimankan aqidah yang sama.

Semoga segala mutiara dan permata yang ditinggalkan akan terus berkilau warnanya tanpa sirna, tidak akan pudar ditelan zaman. Kepada anak-anak didik tersayang, maafkan ust ya,diri ini terpaksa pergi...doakan kita akan bersua lagi. Hanya Allah yang tahu betapa dalamnya kasih sayang di dasar rasa di jiwa. Telah tercipta ruang yang istimewa di hati ini buat kalian semua khususnya warga DARUN NADWAH.

Dikesempatan yang masih bersisa ini jua, sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ku abadikan khusus buat seluruh warga SEPAGAYA DAN LAHAD DATU kerna telah memberikan sedikit ruang untuk insan ini tumpang berteduh di bawah dirimbunan kasih sayang insan..datangnya insan kerdil ini sebagai seorang musafir bekelana bersama hala tuju berpaksikan satu tekad satu matlamat agar jiwa Islam itu terus subur di hati masyarakat biar sehebat mana ranjau dan onak yang harus diredah.

Sesungguhnya bukan kita yang memulakan perjuangan jua menokhtahkan, namun kita hanya meneruskannya..maka TERUSKANLAH PERJUANGAN. Cukup sekadar kalian yang ditinggalkan di medan juang ini dapat mengekalkan momentum dan kekuatan yang sedia ada andai tidak dapat untuk menambahkannya. Terima kasih juga buat semua individu, orang perseorangan, badan-badan kerajaan dan swasta, tuan-puan seluruhnya yang pernah menyumbangkan sesuatu, membantu, menyokong dan segalanya secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program-program ustmanis sepanjang 2005-2010. TERIMA KASIH juga buat saudara-saudara dan keluarga angkatku yang sudi menerima diri ini.. buat warga Pasir Putih Tawau, Silam Camp, Ladang Permai, Kg Paris dan semuanya yang tidak dapat ku sebutkan satu per satu. Itulah sejarah MANIS yang terus abadi kukuh sebagai bahan SEJARAH yang harus dikenang.
Bersamalah kita belajar dari air yang mengalir gagah menyusur lembah tidak pernah mengalah biar berliku akan perjalanannya untuk sampai ke muara.

Kepada teman-teman seXPDC, sebenarnya itu program terakhir sentuhanku buat kalian semua. Justeru, abadikanlah memori indah sepanjang bersama ustmanis..Juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang pernah dan telah mengikuti ROAD TOUR JEJALAH BORNEO mana-mana siri yang berkesempatan (KUDAT-DANUM-JEROCO UNICO-PULAU-SAKAR-BEAUFORT-SIPITANG-SAHABAT SRI PANTAI-GUNUNG KINABALU) dan semua program yang pernah terlakar sejarahnya di Lahad Datu..doakanlah agar segala usaha kita selama ini akan diangkat oleh ALLAH SWT sebagai ibadah disisiNya jua, bukti di akhirat nanti..TAQABBALALLAHU!!

Selautan kemaafan jua dipohonkan andainya dan pasti ada kekhilafan, kesalahan, kesilapan jua keterlanjuran bicara dan tingkah laku yang tidak menyenangkan sepanjang diri ini bernafas di sini. Abadikanlah memori yang pernah tercipta bersama, sudilah apa jua kiranya untuk lafazkan nama diri ini di dalam doa kalian sebagai tanda ikatan ini akan terus berkekalan biar tidak dapat menatap wajah. Doa restu ku kirimkan dari kejauhan moga mengiringi kejayaan semua. Semoga Lahad Datu yang akan ditinggalkan ini akan terus dinaungi oleh sayap malaikat rahmat hingga ke hujung ‘nyawa’. Terima kasih Sepagaya, Terima kasih Lahad Datu, Terima kasih Pantai Timur, Terima kasih SABAH..Teruskan menyokong ustmanis biar sejauh mana kita terpisah dan dipisahkan. Tiada apa yang mampu ditinggalkan, melainkan bingkisan album alunan zikir terbaru nukilan ustmanis istimewa buat semua yang tersayang di Lahad Datu khususnya. Doakan agar hadirnya titik pertemuan nanti, insyaAllah. Dengarkan dikala rindu bertamu,terimalah...........SIMFONI ZIKIR & DO’A. SALAM KASIH SAYANG buat semua..kullu 'am wa antum bi khair!USTMANIS (01.01.05-21.02.10)…Assalamu’alaikum…Sayonara

XPDC MANIS 2010 GUNUNG KINABALU









Segunung kesyukuran buat Maha Pencipta, langit tegak tidak bertiang bumi terhampar tiada sempadan..akhirnya membawa kaki ini untuk sampai jua di kemuncak tertinggi Asia Tenggara, dengan ketinggian 4095.2m dari paras laut..Tepat jam 10.30 pagi 16 Feb 2010, team XPDC MANIS'10 seramai 17 orang memulakan pendakian dengan penuh semangat waja berbekalkan stamnina hasil dari beberapa siri pra-latihan pada minggu-minggu terakhir menjelang detik pendakian.

Pendakian pada fasa kedua, semakin mencabar stamina dan ketahanan fizikal untuk terus melangkah mendaki cerun gunung yang semakin curam dan tajam ditambah pula batu-batu yang agak besar dan keras. Akhirnya, setelah mengharungi pendakian selama 4 jam 30 minit, tepat jam 3 petang..ana sampai di base camp (3323m) bersama dengan seoranng rakan guru, Cikgu Faisal sementara menanti 15 orang anggota yang lain. Terpancar kepenatan di wajah, namun alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan dari-Nya jua..stamina itu dapat dikekalkan dan dikembalikan untuk pendakian pada esok hari ke kemuncak tertinggi. Alhamdulillah, semua 17 orang selamat sampai di base camp (tempat penginapan) biarpun agal lewat petang.

Setelah melalui malam yang dingin dan sejuk, tepat jam 3 pagi team XPDC MANIS'10 kami mula bergerak MENUJU PUNCAK dengan dibantu dengan 3 orang guide yang mengiringi kami sejak dari kaki gunung lagi.Pendakian yang amat mencabar serta menguji ketahanan mental terutama sewaktu menyusur lembah yang curam tanpa sebarang bantuan keselamatan. ditambah pula dengan kegelepan dinihari. Namun kuasa Allah menyuluh jalan pendakian yang cukup membuktikan keagungan Tuhan..

Setelah berhenti seketika di beberapa check point,tepat jam 5 pagi setelah mengharungi pendakian di kawasan yang berbatu selama hampir 2 jam..diri ini sampai di kemuncak KINABALU.Seusai tiba,15 minit kemudian dengan izin Allah jua ku melaungkan azan buat julung kalinya.Getaran suara yang memecah kesunyian dan kedinginan subuh di puncak borneo di saksikan langit dan bumi yang terhampar. Sempat ku abadikan rakaman amatur AZAN LIVE USTMANIS D'PUNCAK.

Seusai azan, terus tunaikan solat subuh berjemaah dengan rakan seperjuangan Cikgu Faisal...sementara menantikan teman-teman yang lain.Selepas mengabadikan beberapa kepingan potret di puncak bersama teaman-teman yang semakin ramai sampai di puncak sesudah fajar menyinsing,kaki ini mula membuka langkah untuk menuruni puncak setelah hampir 2 jam berada di sana..Alhamdulillah, 1 jam perjalanan turun ke base camp cukup mengujakan serta merafa' syukur kehadrat-Nya...

SIRI KEEMPAT-BEAUFORT-SIPITANG











Alhamdulillah, biarpun dihujung usiaku d'borneo..namun dengan izinNya jua sempat juga diri ini membrikan sentuhan dan sumbangan buat warga Beaufort yang hebat layanannya. Terharunya atas layanan istimewa dan sambutan yang di luar dugaan. Terima kasih banyak buat cikgu Kalsum atas kesudian menjemput ustmanis buat julung kalinya di beaufort.moga ada kali keduanya ya...Abadaikan juga kenangan manis untuk orang Beaufort. Salam penghargaan daripada ustmanis buat semua di sana ya. Syukran

Related Posts with Thumbnails