Tuesday, May 25, 2010

DILEMA SEORANG GURU..



KAMI GURU MALAYSIA,BERIKRAR DAN BERJANJI MENDIDIK DAN MEMIMPIN PUTERA-PUTERI NEGARA KITA......

Begitulah bait-bait lirik yang seringkali berkumandang tiap kali tibanya tarikh keramat 16 Mei saban tahun yang brelalu.Di setiap ceruk kampung,bandar,desa,kota mahupun di mana jua adanya institusi yang bernama sekolah maka pastinya melodi berlagu penuh semangat ini akan terus bergema.Demikianlah jua lafaz ikrar dan janji yang terlafaz di bibir setiap insan bergelar murabbi seusai mengenggam segulung Ijazah mahupun Diploma sebagai 'lesen' atau kelayakan ikhtisas untuk terjun ke lapangan pendidikan ini..Mengatur langkah penuh gagah untuk beraksi di bilik-bilik darjah demi semurni impian sekudus harapan ingin melihat anak-anak bangsa mampu menggalas amanah meneruskan legasi keilmuan,keintelektualan merentas zaman..

Berdirinya seorang guru di dalam bilik darjah sambil mata merenung tajam penuh pengharapan agar setiap wajah yang redup kejernihan itu menjadi 'manusia' hasil acuan yang dibentuk.Mendidik jiwa, melentur akhlak, membentuk pekerti segalanya terangkum di dalam sebuah 'pakej' impian yang menggunung tinggi bersulam keikhlasan.Tahun berganti tahun,bulan berganti bulan,semester berganti semester,telah ramai generasi anak didik yang berjaya di hasilkan setelah terlontar bicara demi bicara,penat bermandi keringat,tangisan berganti tangisan..malah tidak kurang juga anak-anak didik yang berjaya mencapai 'tahap' pendidikan yang lebih tinggi dari guru sekolahnya sendiri.Masih terngiang-ngiang nukilan yang sekian lama tercipta oleh tokoh agung bernama Allahyarham Usman Awang:"JIKA HARI INI SEORANG RAJA MENAIKI TAKHTA,PERDANA MENTERI BERKUASA,PEGUAM MENANG BICARA,DOKTOR MERAWAT PESAKITNYA.......SESUNGGUNNYA SEGALANYA BERMULA DARI SEORANG GURU BIASA!!Demikianlah luahan rasa yang ingin dikongsi dan disampaikan buat tatapan dan penghayatan umum oleh tokoh agung ini.Hebatnya aura seorang GURU!

Namun,merentas arus usia dan masa,dikala kecanggihan dan kemodenan mendahului zaman..kerjaya sebagai seorang guru dewasa ini benar-benar teruji keikhlasan.Kini, guru bukan hanya pengajar,namun guru juga hakim di sekolah tatkala berdepan dengan kes disiplin pelajar, guru jua tukang kebun dalam aktiviti gorong royong sekolah, guru jua 'bomoh' bla anak-anak didik diserang 'histeria', guru jua jurulatih sukan dan semuanya adalah GURU!!!Begitulah pakej aksi,watak,karakter dan peranan yang guru mainkan mutakhir ini.Terbaru, seorang pelajar dilaporkan mengugut bunuh gurunya sendiri sekali lagi membenarkan segala telahan,teka-teki dan cabaran guru di era globalisasi ini.DALAM PUJIAN TERSELIT KEJIAN,DALAM PENGHORMATAN TERKANDUNG CACIAN,DALAM KEIKHLASAN TERSELIT JUA KETERPAKSAAN,DALAM SUMBANGAN ADA ANCAMAN..GURU OH GURU,KEIKHLASANMU BENAR-BENAR TERUJI DENGAN KERENAH ANAK-ANAK DIDIKMU YANG MENJANGKAU 40 ORANG DI DALAM BILIK DARJAH,SESEKALI TERPAKSA BERDEPAN PULA DENGAN SERANGAN IBU DAN AYAH PELAJAR YANG TIADA BERKESUDAHAN...

Berapa ramai insan yang sudi mendengar keluhan,rintihan,tangisan seorang guru??Hakikatnya mereka jua insan yang bisa tertawa tika gembira, bisa menangis tika bersedih,bisa marah tika tercabar maruah..Tidak cukup dengan kerenah anak-anak didik,waris pelajar yang seribu satu 'fe'el',guru juga tidak terlepas dari tekanan dari pihak pentadbiran sekolah sendiri biarpun tidak semua.Setelah bebanan demi bebanan yang makin bertambah,wajah yang MANIS tika melangkah masuk ke bilik-bilik darjah 'tiba-tiba' bisa berubah setiap kali keluar dari bilik darjah.Melayan kerenah anak-naka didik yang seribu satu macam benar-benar mengusik emosi guru. Bukan sekadar itu,berdepan pula dengan 'kerenah' barisan pentadbir yang kekadang ok,kekadang pula sebaliknya.Itulah hakikatnya kerjaya sebagai guru yang sentiasa 'bermain' dengan jiwa,emosi,perasaan makhluk bernyawa bernama insan.

Artikel yang tertulis ini bukanlah kejian,namun bukan pula kutukan tetapi sekadar menyatakan apa yang mungkin tersirat di hati kecil insan guru berdasarkan respons guru-guru Malaysia hari ini..walaupun tidak lah semua.Bisikan suara hati dan dilema seorang guru..

Namun, kau tetap guru..seorang mulia yang diangkat martabatnya oleh Allah sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh Imam Ghazali:"Tiada insan melata yang lebih mulia di atas muka bumi ini melainkan seorang muallim(guru)".Syeikh Yusuf al-Qardawi juga pernah berpesan sebagai renungan untuk warga pendidik tentang amanah iaitu ;

1.Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
2.Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
3.Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
4.Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.
5.Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.
Sehubungan itu baginda Rasulullah s.a.w ada bertanya kepada Malaikat Jibril, berhubung siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?, Jibril menjawab : Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).

Konsep penghormatan kepada golongan pendidik

Jelas daripada hadis di atas, baginda telah menggariskan satu tindakan yang berkesan bagi meletakkan penghormatan sewajarnya kepada mereka.

Pengamalan dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita yang berpaksikan nilai-nilai penghormatan terhadap golongan pendidik/guru adalah dijelmakan oleh fahaman barat, iaitu mereka diberikan hadiah tertentu walaupun pada masa yang sama para pelajar sebenarnya tidak bersetuju atau mengkritik guru-guru mereka atau mungkin juga berlaku biadap terhadap mereka, tindakan ini disifatkan menyalahi tuntutan ayat di atas yang sepatutnya mereka (pelajar) mendapat peringatan agar tidak meniru-niri gaya hidup masyarakat barat dan sebagainya.

Tetapi bagi menutup kesalahan dan kelemahan mereka, para pendidik/guru diraikan pada satu hari yang dikenali dengan 'hari guru', pelajar yang tidak menerima nasihat pun menghulurkan hadiah kerana inilah peluang bagi menyekat kemarahan atau kebencian guru terhadap mereka, pelajar yang datang dari keluarga berada walaupun tidak memiliki akhlak yang baik, mampu mengadiahkan gurunya pelbagai bentuk hadiah yang menarik, ini menyebabkan gurunya bias terhadapnya, rasa nak marah pun hilang dari mindanya.

Sedangkan pelajar yang benar-benar menepati ayat di atas tetapi kerana kemiskinan serta tidak mampu untuk menghadiahkan gurunya sebarang bentuk hadiah, dipinggirkan daripada minda dan sanubari guru, persoalannya di sini hadiah yang diterima oleh guru boleh disifatkan satu bentuk rasuah cara moden.

Inilah kejayaan musuh Islam bagi merenggangkan golongan pendidik/guru dengan para pelajarnya yang dihormati hanya pada satu hari iaitu "hari guru", sedangkan pada hari-hari yang lain mereka sudah tidak dihormati apatah lagi untuk melaksanakan arahan mereka untuk menjadi individu cemerlang, akibatnya mereka tidak sanggup untuk menegur atau memberi nasihat kepada para pelajar kerana disebaban hadiah yang diterima.

Akhirnya institusi pendidikan di kalangan umat Islam tidak mampu melahirkan individu-individu seperti Imam hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Marilah kita sama-sama kembalikan maruah golongan pendidik/guru/ahli ilmu dengan menghormati mereka dengan bentuk yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu mendengar nasihat mereka, mengenali serta melaksanakan segala ajaran mereka dan bukannya membenci mereka apatah lagi menyanggah mereka dengan tindakan yang tidak sepatutnya..

Justeru,sama-sama kita fikir dan renungkan andainya ada kebenaran apa yang diperkatakan..moga ada sinar harapan dalam fajar esok yang bakal menjelang.KHAS BUAT INSAN BERGELAR GURU DI MANA JUA DIRIMU MELANGKAH,KIRIMAN DOA RESTU MENGIRI LANGKAHANMU KE MEDAN JUANG...SELAMAT HARI GURU!!!!

Related Posts with Thumbnails